IPOH: Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil dijangka berkuat kuasa pada tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, sesi libat urus dan penerangan kepada pihak berkaitan sudah dilakukan beberapa kali dalam memastikan perintah khidmat masyarakat itu dapat direalisasikan.
“Ia (perintah itu) dijangka tahun ini. Dah banyak kali saya buat libat urus dan kita dah banyak kali berikan penerangan.
“Undang-undang ini akan dikuatkuasakan tahun ini. Jangan lupa 2026 tahun Tahun Melawat Malaysia dan kita menjangkakan kehadiran 35 juta pengunjung, kita mahu pelancong untuk mempunyai tanggapan yang baik (terhadap negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Rekreasi MADANI Woodlands II Bandar Baru Tambun di sini, hari ini.
Rabu lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan cadangan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat, membabitkan pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam sewenang-wenangnya.
Kor Ming berkata, pindaan akta berkenaan akan dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat, 6 Mac ini.
Di majlis yang sama beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta diberikan kepada Kerajaan Perak bagi pembinaan sekurang-kurangnya 20 Taman Rekreasi MADANI di negeri itu.
“Sekarang dasar kita satu tahun 100 taman, jadi saya komited untuk siapkan 1,000 taman dalam masa 10 tahun. Tahun lalu kita lebih daripada sasaran, kami capai 109 di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Landskap Negara, tahun ini sasaran kita 100 (taman) lagi,” katanya.
Berkenaan Taman Rekreasi MADANI Woodlands II Bandar Baru Tambun, Kor Ming berkata sebuah syarikat pemaju swasta Total Investment Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak RM500,000 bagi pembinaan taman itu.-BH Online