KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang menerima tawaran haji namun terdapat perbezaan penepatan bayaran boleh membuat aduan bagi semakan semula kategori.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pasangan terbabit boleh datang ke cawangan Tabung Haji (TH) terdekat bersama bukti yang lengkap seperti rekod penerimaan bantuan kerajaan bagi golongan B40, status perkahwinan dan maklumat lain yang berkaitan.
“Untuk makluman juga, TH sudah dan masih menerima permohonan rayuan bagi penukaran Kategori Bayaran Haji serta sedang dalam proses pelaksanaan penelitian permohonan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PAS-Jerlun) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa wujud perbezaan kos haji antara pasangan mahram yang terpilih menjadi Jemaah Muassasah bagi tahun 2025.
Dalam pada itu, mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, terdapat perbezaan di antara kos haji, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji.
“Jika dicerakinkan, kos haji merujuk kepada jumlah kos keseluruhan untuk mendapatkan rantaian perkhidmatan bagi seseorang bakal haji ke tanah suci dalam menyempurnakan ibadah haji termasuklah penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan tanah suci, pengangkutan, kebajikan, kesihatan dan sebagainya.
“Kos Haji yang diumumkan oleh Tabung Haji bagi musim 1446H/2025M ialah sejumlah RM33,300. Bayaran Haji pula merujuk kepada jumlah wang yang ditetapkan oleh Tabung Haji untuk seseorang jemaah haji bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah haji pada tahun semasa.
“Bayaran Haji bagi kumpulan B40 dan M40 adalah lebih rendah berbanding Kos Haji. Manakala, Bantuan Kewangan Haji adalah peruntukan bantuan kewangan yang ditanggung oleh TH dan diberikan kepada kumpulan B40 dan M40 bagi menampung Kos Haji seseorang jemaah,” katanya.
Tambahnya, sejak 2022 TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi Kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan Kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah termasuk dalam Kumpulan B40 manakala, jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40.
“Penetapan Bayaran Haji bagi bakal haji yang menerima tawaran adalah ditetapkan berdasarkan pendapatan individu.
“Namun, penetapan Bayaran Haji bagi kes rayuan haji untuk pengiring termasuklah jemaah yang membuat rayuan sebagai mahram dan pengiring kepada jemaah lanjut usia atau kelainan upaya adalah bergantung kepada kategori bakal haji yang terpilih,” katanya.-BH Online