Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Prof Dr Arham Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang ketujuh, berkuat kuasa esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Razli Che Razak.

“Memiliki kepimpinan institusi dan pengalaman pentadbiran organisasi yang luas pada pelbagai peringkat, kementerian yakin Prof Dr Arham Abdullah mampu menerajui UMK.

“Ia dalam mengupayakan pembangunan akademik serta memperkasakan kecemerlangan berteraskan inovasi bagi melahirkan bakat terbaik negara, terutama dalam bidang keusahawanan, secara optimum,” menurut kenyataan itu.

Arham berkelulusan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1998 serta 1999.

Selain itu, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Binaan daripada Universiti Loughborough, United Kingdom, pada 2003.

Arham memulakan kerjaya sebagai pensyarah di UTM pada 1999, dengan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM dari 2010 hingga 2014.

Beliau kemudian dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima tahun mulai 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dari 2019 hingga kini.

KPT dalam kenyataan itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Razli atas jasa bakti beliau menerajui UMK sejak 1 Mac 2022.-BH Online