Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kestabilan politik dan dasar monetari negara menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 yang melepasi sasaran minimum kerajaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pencapaian KDNK sebanyak 5.1 peratus itu adalah petanda positif yang menunjukkan kedudukan ekonomi negara akan terus berkembang.

Tegasnya, pelaburan turut mencatat perkembangan walaupun situasi geopolitik dunia tidak menentu, malah tiada petanda untuk pelaburan daripada sektor teknologi atau teknologi besar berkurangan ketika ini.

“Keadaan geopolitik pada waktu ini masih memerlukan kita meneliti apa yang sedang berlaku, termasuk keputusan beberapa negara yang juga rakan dagang atau berpotensi untuk menjadi rakan dagang.

“Kementerian terbabit seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) dan Kementerian Ekonomi fasih mengenai perkara ini dan usaha dilakukan mereka dengan mengambil kira beberapa aspek seperti tarif perdagangan,” katanya.

Ekonomi Malaysia dilapor berkembang lebih baik daripada jangkaan 5.0 peratus pada suku keempat 2024, berbanding jangkaan awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 4.8 peratus.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024, sejajar unjuran awal DOSM dan berada dalam jajaran unjuran rasmi kerajaan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

Prestasi keseluruhan ekonomi tahun lalu itu lebih tinggi berbanding prestasi keseluruhan 2023, yang berkembang sebanyak 3.6 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024 itu didorong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan dalam eksport.-BH Online