Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Melaka dipilih sebagai perintis pelaksanaan inisiatif kampung digital, satu kaedah pengurusan masyarakat secara lebih terancang. 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membentangkan pelaksanaan projek Kampung Digital Melaka dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-145 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.

Menurut Rauf, pembentangan beliau telah mendapat perhatian kalangan rakan sejawatnya dari negeri-negeri lain. 

Rauf berkata beliau telah menjelaskan inisiatif terbabit mampu menyuraikan kekusutan terutama berkaitan sistem pengurusan alamat kediaman penduduk yang selama ini hanya menggunakan kaedah perbatuan sehingga menyulitkan urusan perhubungan oleh agensi berkaitan.

“Alhamdulillah, Melaka dijadikan rujukan, negeri perintis projek Kampung Digital,” katanya pada Anugerah Pembangunan Negeri Melaka 2025 malam tadi. 

Projek Kampung Digital Melaka menambah baik sistem pengurusan penduduk dan pentadbiran 623 kampung yang terikat dengan kaedah konvensional. 

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada awal bulan lalu memeterai kerjasama strategik dengan Kerajaan Melaka. 

Inisiatif terbabit adalah langkah strategik memastikan setiap premis di Melaka dilengkapi alamat yang lengkap dan sistematik.-BH Online