Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima baik gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya kerajaan menambah baik terma perkhidmatan jururawat bagi menjamin sistem penjagaan kesihatan lebih baik, berbanding melonggarkan syarat kemasukan untuk menangani isu kekurangan petugas itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bagaimanapun menjelaskan pihaknya melihat kedua-dua perkara itu sebagai sama penting.

“Saya memandang mustahak dan menyambut pandangan MMA. Kedua-duanya bukan bersilang… maksudnya, daripada menekankan itu, lebih baik menekankan ini… pada kami, kedua-dua ini adalah penting.

“Adalah penting untuk kita menggalakkan tarikan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kursus kejururawatan, dengan kita meletakkan tiga kredit sebagai syarat kemasukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU), di sini, hari ini.

Semalam, MMA dilaporkan menggesa kerajaan menambah baik terma perkhidmatan jururawatberbanding melonggarkan syarat pengambilan dalam menangani isu kekurangan petugas terbabit.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, dipetik berkata ia termasuk dari segi gaji lebih baik, jam kerja lebih baik dan peluang pengembangan kerjaya, bukan saja untuk menarik penyertaan pelajar baharu dalam bidang kejururawatan tetapi juga mengekalkan bakat dalam profesion berkenaan.

Dr Kalwinder menekankan, sistem penjagaan kesihatan Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa kerana piawaiannya yang tinggi, dan amat penting untuk piawaian itu terus dikekalkan.

Media sebelum ini melaporkan Dr Dzulkefly berkata, syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan SPM dilonggarkan kepada hanya tiga kredit, iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.

Sebelum itu, syarat kemasukan berkenaan memerlukan lima kredit membabitkan Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, mana-mana mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan) serta mendapat kepujian dalam mana-mana mata pelajaran lain.

Mengulas lanjut kenyataan Dr Kalwinder, Dr Dzulkefly memberi jaminan pihaknya akan mencapai satu keputusan baik bukan saja bagi menjamin kebajikan jururawat, malah juga penolong pegawai perubatan (PPP), pembantu perawatan kesihatan (PPK) dan pemandu ambulans berhubung tuntutan mereka, termasuk berkaitan sistem bekerja syif 45 jam seminggu.

Katanya, beliau telah menghadiri sekurang-kurang empat program libat urus, iaitu di Hospital Pulau Pinang; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor; serta terakhir dijadualkan di Terengganu pada minggu depan bagi mendapatkan maklum balas kakitangan terbabit sebelum memuktamadkan keputusan berkait perkara berkenaan.

“Apa yang saya hendak sebut ialah izinkan kami mengadakan semua libat urus ini dahulu, dan saya sendiri pun sudah nampak bagaimana kecenderungan, permintaan serta tuntutan daripada program kejururawatan… apa yang mereka mahukan sebenar-benarnya.

“Saya sendiri akan mengemas kini perkara ini kepada Kabinet serta Perdana Menteri, dan perkara ini bukan suatu yang sukar untuk saya atasi. Kita akan mendapat satu keputusan yang baik, khasnya untuk kebajikan jururawat kita dan semua yang lain,” katanya.-BH Online