KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai peluang luas untuk meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sejajar minat serta kecenderungan masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata di Malaysia terdapat 1,398 institusi TVET merangkumi 673 institusi TVET awam, 697 swasta dan 28 di bawah kerajaan negeri, dengan ekosistem yang dinamik serta luas itu menawarkan pelbagai bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dan pasaran kerja semasa.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, sebanyak 402,956 calon berdaftar telah menamatkan peperiksaan SPM hari ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar atas usaha dan kesungguhan mereka sepanjang tempoh peperiksaan. Namun, tamatnya SPM bukanlah penamat, ia permulaan kepada satu fasa baharu dalam kehidupan.
“Kini, tibalah masanya untuk pelajar menentukan hala tuju masa depan, sama ada dalam pendidikan tinggi atau bidang kerjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata peluang menyambung pengajian dalam TVET terbuka sepanjang tahun dengan pelbagai pilihan fleksibel melalui sistem UP_TVET.
Beliau berkata, UP_TVET Flexi yang dibuka sejak Januari lalu membolehkan individu mengikuti latihan kemahiran secara modular dan anjal mengikut kesesuaian jadual masing-masing, manakala UP_TVET Perdana bagi Kursus Sepenuh Masa Ambilan Julai 2025 pula, permohonan akan dibuka pada April ini.
Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai peneraju utama dalam pembangunan tenaga mahir luar bandar turut menyediakan pelbagai program TVET yang menepati keperluan industri negara.
Beliau berkata, sebanyak 280 institusi di bawah KKDW menawarkan 529 program daripada peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata ia termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
“Kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW telah melahirkan ramai tenaga mahir, profesional, teknologis dan usahawan yang berjaya. Kadar kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencapai 98 peratus pada 2024, membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang luas, tetapi juga mampu membentuk masa depan yang lebih cerah.
“Kerajaan komited dalam memastikan akses pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Oleh itu, saya menyeru pelajar dan ibu bapa agar merebut peluang ini untuk membina kerjaya yang mampan dan berdaya saing,” katanya.-BH Online