Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Uzbekistan perlu meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor seperti teknologi makanan, pertanian, semikonduktor, tenaga hijau dan kenderaan elektrik (EV), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga perlu memperkukuh kerjasama dalam industri halal, pendidikan, kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga.

Selain itu, perdagangan dan pelaburan merentas semua bidang perlu diperluaskan, dengan tumpuan kepada industri halal dan pendidikan, khususnya pendidikan tinggi, kata Anwar menerusi ucapan beliau pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan, di sini, hari ini, yang diadakan sempena lawatan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia.

“Mesti ada laporan yang dikemukakan kepada kita setiap bulan (mengenai perkara ini). Ini hanya boleh berlaku apabila kita mempercayai satu sama lain. Ini hanya boleh berlaku apabila kita melihat kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan rasa hormat antara satu sama lain,” kata beliau.

Anwar berkata, Uzbekistan juga telah mempelawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menyertai aktiviti minyak dan gasnya.

Justeru, beliau menggesa Petronas untuk memudahkan usaha ini kerana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata Malaysia dan Uzbekistan harus saling melengkapi untuk menangani batasan dan melihat kepada asas ekonomi untuk melindungi kepentingan rakyat kedua-dua negara dan kebajikan mereka.

“Tiada sesiapa, negara atau entiti boleh mendakwa mempunyai kepakaran tunggal. 

Justeru, mengapa kita tidak boleh bekerjasama dan mendapat manfaat daripada (kekuatan kita)?

“Semua kementerian dan syarikat besar, kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta, boleh mendengar terus kepada kami (pemimpin kedua-dua negara). Kami telah memberikan komitmen yang jelas dan pelan hala tuju yang jelas,” katanya.