Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), termasuk teknologi DeepSeek dari China, dijangka meningkatkan permintaan terhadap pusat data di Malaysia, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo. 

Beliau menegaskan bahawa perkembangan AI bukan ancaman kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pusat data serantau, sebaliknya membuka lebih banyak peluang pertumbuhan.

“Perkembangan ini menunjukkan betapa pentingnya kewujudan pusat data. Jika perkhidmatan ini dapat disediakan pada kos lebih rendah, ia akan berkembang lebih pantas, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap data,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi 5G Advanced hari ini. 

Gobind berkata kerajaan sentiasa memantau perkembangan terkini teknologi AI di peringkat global bagi memastikan dasar sedia ada dapat disesuaikan dengan perubahan pesat dalam aspek pengukuran, kos dan penggunaan tenaga.

Terdahulu, beliau melancarkan teknologi 5G Advanced pertama Malaysia yang dibangunkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dan Ericsson. Teknologi ini memanfaatkan AI untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan kependaman ultra-rendah serta keupayaan pemprosesan data yang lebih tinggi. 

Rangkaian DNB akan terus mendapat manfaat daripada teknologi AI berasaskan niat oleh Ericsson bagi membangunkan rangkaian berprestasi tinggi, yang bukan sahaja mempertingkatkan pengalaman pengguna, malah membuka ruang kepada aplikasi inovatif bagi kegunaan individu dan perniagaan. 

Gobind dalam ucapannya berkata peningkatan rangkaian 5G Malaysia akan mempercepatkan penggunaan teknologi tersebut dalam kalangan pengguna dan sektor perusahaan, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju digital di rantau ini. 

“Mempercepatkan penggunaan 5G dalam pelbagai sektor adalah penting bagi transformasi digital negara. Ini bukan sahaja menjadikan Malaysia peneraju 5G ketika memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025, tetapi juga menarik lebih banyak pelaburan digital ke rantau ini. 

“Pelancaran 5G Advanced, yang pertama di ASEAN, menegaskan kepimpinan Malaysia dalam inovasi digital serta menetapkan penanda aras baharu bagi kemajuan teknologi di peringkat serantau,” katanya. – BERNAMA