GEORGETOWN: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi jaminan akan terus mengadakan sesi libat urus sekali gus meneliti setiap maklum balas berkaitan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum berjalan lancar serta ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menterinya, Steven Sim berkata, beliau sendiri sudah mengarahkan supaya kajian lanjut dijalankan dengan menimbangkan pelaksanaan dasar baharu itu berdasarkan beberapa aspek termasuk mengikut kawasan geografi dan sebagainya.
“Saya sudah memberi arahan supaya kajian seterusnya dibuat, kita akan teruskan sesi libat urus untuk menerima maklum balas daripada semua pihak.
“Kita juga akan membuat kajian melihat kesesuaian melaksanakan kadar gaji minimum mengikut perbezaan contohnya daripada aspek geografi dan keadaan ekonomi sesuatu kawasan itu
“Ini semua akan dipertimbangkan dalam kajian seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) yang menyenaraikan empat pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu yang lebih seimbang termasuk meminta kadar itu tidak dijadikan penanda aras gaji permulaan dalam industri di negara ini.
Semalam, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, turut dilapor berkata, gaji minimum sebanyak RM1,700 perlu dilaksanakan secara berbeza mengikut negeri dan industri, meningkatkan pembabitan pemegang taruh dalam dasar terbabit selain penyediaan langkah sokongan terhadap cabaran kenaikan gaji kepada kos operasi perniagaan.
Ditanya mengenai perkara itu, Steven menjelaskan syarikat kecil diberikan tempoh sehingga Ogos 2025 walaupun kadar baharu itu berkuat kuasa semalam.
“Memang kita ada pertimbangkan pelbagai model pelaksanaan dalam kita melaksanakan kadar baru ini yang dilihat lebih sesuai untuk satu kadar yang seragam di seluruh negara untuk masa sekarang, tetapi kajian berterusan akan dijalankan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan adalah penting untuk melihat keputusan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 telah dibincangkan secara menyeluruh dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai oleh wakil kerajaan, majikan dan pekerja.
“Kalau kita lihat kenyataan media, sudah tentu ada pihak yang kata terlalu sikit, ada pihak yang kata terlalu banyak tetapi kita harus mengimbangkan antara kepentingan khususnya untuk pekerja kita.
“Saya juga melihat kenyataan media contohnya Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Dewan Perniagaan dan juga FMM rata-rata mereka bersetuju dengan pelaksanaan ini.
“Jadi saya rasa ini adalah satu petanda baik yang mana majikan, wakil majikan juga mengalu-alukan pelaksanaan gaji minimum,” katanya.
Beliau berkata, KESUMA juga sentiasa mengambil pendekatan terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan daripada semua pihak melalui sesi libat urus dan perbincangan dengan pemegang taruh yang diadakan dari semasa ke semasa.
“Sebenarnya sebelum kita melaksanakan kadar gaji minimum ini, sudah banyak sesi libat urus bukan saja sesi libat urus bersemuka, kementerian juga membuka wadah atau platform untuk menerima input secara online dan sebagainya.
“Jadi bukan saja untuk gaji minimum, semua perkara kita memang mengadakan (libat urus) contohnya saya sudah menganjurkan beberapa sesi libat urus untuk Rang Undang-Undang Pekerja Gig.
“Tapi saya akan lengkapkan semua sesi libat urus ini dengan satu ‘town hall’ mega saya fikir akan diadakan dalam seminggu (atau) dua (minggu) yang akan datang,” katanya.-BH Online