Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan dalam mengejar arus pembangunan negara, keharmonian dan perpaduan masih perlu diutamakan.

Perdana Menteri berkata, tidak dilupakan juga, usaha yang perlu dilaksanakan semua pihak bagi membentuk kestabilan pentadbiran negara.

“Roh ihsan yang sentiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama.

“Ini selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita semua untuk menggenggam erat tali permuafakatan dalam menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara, baik untuk hari ini dan juga hari mendatang,” katanya di Facebook sebagai mesej sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Anwar turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Moga kesatuan dan kebersamaan yang ada ini terus berkekalan dengan hendak-Nya,” katanya.

Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974 apabila Kuala Lumpur yang dahulunya, sebahagian daripada Selangor diserahkan oleh Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kepada kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara dan ditadbir secara langsung.

Labuan pula diangkat menjadi Wilayah Persekutuan kedua pada 1984 diikuti Putrajaya pada 2001.

Ketiga-tiga wilayah ini kini diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dengan setiap wilayah ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan (Labuan) dan Perbadanan Putrajaya (Putrajaya).

Penyatuan tiga wilayah ini juga dilihat penting dalam merangsang perpaduan dan pertumbuhan ekonomi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.-BH Online