Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Sistem rangkaian bagi Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) Dan Rangkaian Paip Pembetungan di Ipoh, di sini membolehkan penutupan 149 loji awam yang sudah usang di sepanjang rangkaiannya, sekali gus membuka peluang untuk pembangunan lain di kawasan tapak-tapak loji lama berkenaan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan berkata, Pakej 1 projek berkenaan yang siap sepenuhnya pada 29 Januari lalu dan berjaya disiapkan mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan, bakal beri manfaat kepada 250,000 penduduk di Ipoh.

Menurut kenyataan itu, pakej 1 projek itu membabitkan pembinaan sistem rangkaian paip pembetungan baharu sepanjang 88 kilometer (km) dengan sembilan stesen pam baharu, penyahtauliahan, dan perobohon 149 buah loji awam serta loji di premis kerajaan.

Katanya, pembinaan sistem rangkaian paip pembetungan moden itu bukan sahaja dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan sedia ada malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembetungan daripada kawasan-kawasan pembangunan baharu.

Menurutnya, ia juga mampu mengurangkan potensi pencemaran sungai dan membantu memulihara kualiti air sungai melalui pelepasan efluen terawat yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

“Tambahan pula, sistem rangkaian paip pembetungan ini membolehkan penutupan 149 buah loji awam yang sudah usang di sepanjang rangkaian, sekali gus membuka peluang untuk pembangunan lain di kawasan tapak-tapak loji lama terbabit.

“Menerusi penyiapan projek ini, ianya memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 penduduk di Ipoh dan mampu menampung sehingga 500,000 penduduk setempat menjelang 2045,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA ke Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Papan, Daerah Kinta (Pakej 1) di sini hari ini selain ke salah satu stesen pam kumbahan yang sudah siap sepenuhnya di Taman Cempaka, di sini.

Menurut kenyataan itu juga, menerusi pelaksanaan projek itu Jabatan Perkhidmatan Air dan Pembetungan (JPP) sebagai agensi pelaksana pembetungan di seluruh negara, berjaya melakar kejayaan menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurutnya, dua rekod yang dicipta itu adalah Longest Single Curve Jacking Drive For 2100mm diameter Pipe (832.5 meter), dan Longest Distance 2100mm diameter Pipe jacking (2,430.6 meter).

Secara keseluruhan, sebanyak RM2.02 bilion diperuntukkan bagi Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Ipoh di bawah Rancangan Malayia ke-10 (RMK-10) yang meliputi kawasan Ipoh dan sebahagian Gunung Rapat serta Menglembu.

Ianya bagi merasionalisasi sistem pembetungan bangunan-bangunan utama di Ipoh seperti Istana Kinta, Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Wisma Persekutuan, Masjid Negeri dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dengan pembinaan rangkaian paip pembetungan melalui jalan-jalan utama seperti Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan Lahat.

Fasa 1 projek itu merangkumi tiga pakej iaitu pakej 1 membabitkan network (reka dan bina), pakej 2 iaitu STP (reka dan bina), dan pakej 3 iaitu other network (reka dan bina).

Pakej 2 yang juga sudah siap sepenuhnya pada 3 April 2024 membabitkan pembinaan loji rawatan kumbahan berkapasiti 900,000PE (C&S) 600,000PE (M&E), manakala pakej 3 yang diunjurkan siap pada 14 November 2025 akan membabitkan beberapa skop utama.

Skop utama bagi pakej 3 adalah pembinaan rangkaian paip pembetungan sepanjang 76 km, pembinaan 5 buah Network Pump Station (stesen pam jaringan), dan penyahtauliahan serta perobohon 128 loji sedia ada.-BH Online