Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2027 berbanding tahun sebelum ini bagi memastikan agenda pembangunan infrastruktur negara terus diperkasa.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kementerian itu berharap terus kekal sebagai antara penerima utama agihan Perbelanjaan Pembangunan (DE) dalam belanjawan tahunan kerajaan.

“Saban tahun daripada 28 kementerian, KKR diperuntukkan bajet pembangunan terbesar. Sebagai contoh bagi 2026, daripada RM81 bilion keseluruhan DE, hampir RM9.6 bilion atau 10 peratus diperuntukkan untuk KKR.

“Jadi, kami harap akan terus memegang tampuk utama DE. Kami juga sudah memohon peruntukan lebih berbanding tahun lepas, namun kami serah kepada Kementerian Kewangan. Mereka juga mungkin ada kekangan tertentu seperti subsidi yang meningkat, kami faham,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia ke-13 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Wilayah Asia-Pasifik keenam, di sini, hari ini.

Ahmad berkata, perkara berkenaan juga antara yang diperincikan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican di Putrajaya semalam.

Beliau ketika mengulas mengenai penganjuran persidangan itu berkata ia bakal membuka ruang lebih luas untuk mengembangkan teknologi serta inovasi kejuruteraan jalan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ahmad berkata, persidangan bertemakan “Transforming The Nation Through Future Ready Roads” itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang berdaya tahan, mampan dan selari dengan landskap pembangunan masa hadapan.

“Sebanyak 111 ruang pameran akan disediakan sepanjang persidangan bagi mengetengahkan produk dan teknologi terkini sektor berkaitan.

“Kami juga menyasarkan kehadiran 1,000 peserta dalam dan luar negara, dengan penglibatan 100 pembentang kertas kerja teknikal yang bakal berkongsi pengalaman mengenai teknologi dan inovasi kejuruteraan,” katanya.

Persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa itu dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Okt di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – BERNAMA