KUANTAN: Kerajaan Pahang menoktahkan miskin tegar apabila 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam `lock figure’ di negeri itu pada 15 Januari lalu, berjaya dikeluarkan daripada status berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata antara faktor utama kejayaan itu ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan.
Beliau berkata sebagai makluman, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar.
“Lebih membanggakan, Pahang turut berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus miskin pada 5 Jun lalu berjaya dikeluarkan daripada kelompok itu.
“Kategori miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penentuan status itu adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di Bawah Kementerian Ekonomi.
“Pada masa sama, kita perlu memahami bahawa data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah.
“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga.
“Justeru, pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan selesai, sebaliknya, ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat dan pemimpin masyarakat untuk memastikan setiap keluarga yang masih berada dalam kategori miskin dan miskin tegar dalam senarai eKasih terus dibantu mengikut keperluan masing-masing.
“Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan memangkas kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai seluruh rakyat Pahang,” katanya. -BH Online
