KUCHING, 30 Januari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk membantu proses penghantaran kelengkapan asas ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata selain berada di lokasi yang sama, kerjasama itu akan membolehkan penghantaran dilakukan dengan lebih cepat.
Katanya, penghantaran kelengkapan asas itu terutamanya membabitkan khemah kubikel (C-Tent).
“Kita memang mahu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain, tidak boleh menunggu kakitangan JKM sahaja. Kita membawa mereka daripada agensi lain untuk bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Kamarudin Abang di Kampung Segedup, Kuching.
Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy turut memaklumkan pihak yang berhasrat menyalurkan sumbangan atau bantuan kepada penduduk terjejas banjir disarankan berbuat demikian melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Daerah, Pejabat Daerah, atau Ketua Kaum masing-masing.
Ini bagi memastikan pengagihan sumbangan atau bantuan dilakukan secara teratur serta menepati keperluan penduduk terjejas.
Beliau juga mengingatkan penduduk terjejas banjir untuk mendaftar di PPS bagi membolehkan Ketua Isi Rumah menerima bantuan tunai berjumlah RM1,000 menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, sekiranya mereka menepati kriteria dan syarat yang ditetapkan.-Berita RTM