Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: “Nantikan surat daripada peguam saya”. Itu reaksi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap tindakan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang mengakui terkhilaf mendakwa menteri itu anak pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.

Hannah dalam hantaran di X turut menyifatkan fitnah tidak boleh dijadikan kebiasaan terutama dalam kalangan orang beragama.

Beliau berkata ucapan Razman yang menuduhnya itu melebihi seminit dan bukan kurang 10 saat seperti diperkatakan.

“Sebenarnya ucapan Razman yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit,” katanya menurut hantaran itu.

Terdahulu, BH melaporkan Razman dalam pengakuan di Facebook semalam, mengakui terkhilaf apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan itu, mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL.

“Dalam ceramah panjang saya semalam (kelmarin), satu minit video telah dikerat oleh media untuk dijadikan tajuk berita.

“Saya akui terkhilaf mengenai maklumat yang saya kaitkan dengan YB Hannah Yeoh,” katanya melalui muat naik itu.

Susulan itu, Hannah membidas Razman susulan kenyataan yang mengaitkan beliau dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL itu, sambil mengingatkan PAS bahawa tidak semua individu dengan nama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.

Sementara itu, Razman melalui komen berasingan mengakui mengikuti laporan disiarkan media berkaitan ceramahnya dalam program di Seri Iskandar kelmarin, yang mana pemberitaan merujuk ayat berkaitan Hannah Yeoh kira-kira kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.

“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL. Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL.

“Ia kesilapan kod yang berlaku tanpa sengaja. Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain, selain kejayaan program tiga hari tersebut,” katanya.-BH Online