Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DAVOS : Kepentingan tadbir urus dan akauntabiliti kepimpinan di Malaysia antara keutamaan tertinggi pentadbiran Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, banyak negara dimusnahkan akibat keangkuhan dan rasuah pemimpin mereka, sambil menegaskan bahawa kepimpinan berkesan perlu berlandaskan kerendahan hari dan komitmen untuk menangani rasuah secara langsung.

“Kami mewarisi beberapa isu dan skandal daripada masa lepas, jadi kami perlu menjadi lebih tegas tentang itu, yang mana ia mencabar, khususnya apabila rasuah disifatkan sebagai sistemik.

“Proses tender perlu telus dan perlu ada suruhanjaya pencegahan rasuah yang efektif dengan perundangan yang mencukupi dan kuasa yang mencukupi, saya fikir itu harus menjadi permulaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam dialog eksklusif khas bertajuk ‘A Conversation with Anwar Ibrahim’ yang dikendalikan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab sebagai moderator, hari ini.

Anwar berkata demikian dalam respons kepada soalan Schwab berhubung kualiti utama kejayaan pemimpin politik dalam dunia serba pantas masa kini.

Mengenai kerumitan tadbir urus, Anwar berkata pemimpin politik bukan saja perlu mempunyai kemahuan untuk memimpin tetapi juga sifat rendah diri untuk mengakui keterbatasan mereka.

“Kerendahan hati kepimpinan penting kerana pemimpin politik, meskipun pujian yang diterima, sering terlupa bahawa ada ruang untuk pembelajaran dan kami perlu ada sifat rendah diri untuk mengaku keterbatasan kami,” katanya. 

Anwar berkata, kepimpinan beliau berlandaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan untuk semua warganegara, tanpa mengira status sosial atau ekonomi mereka.

Beliau berkata, ia peranan kerajaan untuk memastikan akses yang sama kepada peluang pendidikan, kesihatan dan kebajikan bagi semua rakyat Malaysia.

“Tiada sesiapa yang patut diperlakukan sedemikian (ketidaksamaan) dan jika anda bercakap tentang maruah lelaki dan wanita, maka peluang mereka, pendidikan mereka, kesihatan mereka, kebajikan mereka mesti diberi perlindungan sewajarnya.

“Ketaksamaan terang-terangan ini bagi saya, kapitalisme yang tidak terkawal, bagi pihak Malaysia mesti ditamatkan, sudah tentu ia selamanya bersifat kapitalis dalam sistem tetapi tidak boleh ada isu oligarki dan kronisme. 

“Ia akan memusnahkan dasar-dasar asas, apa yang kita ertikan dengan kebebasan dan akauntabiliti demokratik,” katanya.-BH Online