Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Kerajaan optimis pembangunan projek tenaga solar di negara ini akan pesat berkembang menerusi Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) .

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata ini berikutan dasar baharu itu akan meningkatkan akses syarikat swasta khususnya dalam pembekalan elektrik hijau apabila urusan berkaitan hanya membabitkan dua pihak iaitu pembekal dan pembeli tanpa terikat lagi dengan dasar lama.

Katanya, semua pihak termasuk kerajaan negeri boleh membangunkan zon ekonomi baharu solar menerusi program berkenaan tanpa dibayangi kerenah birokrasi.

“Dasar ini selaras pelan peralihan tenaga negara, dari segi dasarnya sudah diubah selepas kerajaan memperkenalkan CRESS yang membolehkan membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik secara terus.

“Sebelum ini mungkin ada masalah kerana untuk ladang solar membekalkan tenaga elektrik kepada grid memerlukan kuota selain perlu tunggu projek Solar Berskala Besar (LSS) dan sebagainya,” katanya selepas sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Kerajaan Persekutuan sudah mempermudahkan keseluruhan proses tanpa birokrasi rumit dan kemudahan itu boleh diaplikasi di peringkat negeri.

“Kalau Kedah ada 202.35 hektar tanah dan ada syarikat mahu bangunkan ladang solar, tak perlu lesen atau perlu dapatkan kuota lagi, hanya perlu dapatkan pembeli dan penjual.

“Contohnya, pembeli dari Kulim High Tech Park (KHTP) yang perlukan tenaga hijau, maka hanya perlu ada perjanjian antara dua pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, zon baharu solar kelak akan diuruskan kerajaan negeri kerana ia membabitkan penggunaan tanah yang juga di bawah bidang kuasa negeri.

“Jika Kedah mahu bangunkan zon solar mereka yang perlu fikirkan akses tanah, dari segi premium, sama ada sewa atau sebagainya. Peranan Persekutuan dari segi jual beli dan sistem semuanya sudah dipermudahkan,” katanya.

Rafizi berkata, antara usaha Kementerian Ekonomi ialah memastikan projek Kedah Rubber City (KRC) memiliki ekosistem berkenaan termasuk membekalkan solar di kawasan terbabit. 

“Tidak ada halangan dan tidak memerlukan insentif di peringkat Persekutuan kerana urusan sudah dipermudahkan,” katanya. 

Terdahulu, dalam ucapan, Muhammad Sanusi mencadangkan supaya diwujudkan satu zon ekonomi khas bagi pembangunan projek tenaga solar di Kedah dengan pelbagai pakej insentif khas yang boleh disediakan kerajaan Persekutuan. 

“Kerajaan negeri percaya usaha ini dapat menyokong dan merealisasikan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Ia juga dengan mengambil kira kelebihan Kedah yang memiliki cahaya matahari antara tertinggi dalam negara, yang menjadi elemen terpenting dalam penjanaan tenaga solar,” katanya.-BH Online