GEORGETOWN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan bersikap ‘buta warna’ dalam melaksanakan program bagi memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum, khususnya membabitkan kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, program untuk rakyat terutama program yang dijalankan oleh kementeriannya dilakukan untuk memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.
“Kita mahu supaya semua berasakan kita sering mendepani dan menyantuni semua.null
“Kita buta warna dalam melaksanakan program-program untuk kebaikan semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup permukiman KKDW 2025, dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pembangunan luar bandar tidak sekadar tertumpu kepada masyarakat Melayu, bahkan merangkumi penduduk Sabah dan Sarawak yang menjadi fokus utama kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.
Beliau menegaskan, konsep kesamarataan yang diterapkan kerajaan dapat dilihat menerusi peruntukan pembangunan terbesar kepada Sabah dan Sarawak termasuk negeri dikuasai pembangkang.
“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan terbesar. Malah empat negeri pembangkang turut menerima peruntukan lebih besar berbanding negeri-negeri yang dikuasai oleh kerajaan Madani,” katanya.
Terdahulu, beliau turut mempengerusikan Permukiman KKDW 2025 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan objektif membentangkan rumusan pencapaian 62 Program Utama KKDW 2024 dan menetapkan pencetus perubahan bagi 2025.-BH Online