LONDON: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat Battersea Power Station yang merupakan pelaburan terbesar Malaysia membabitkan dana awam di Eropah.
Perdana Menteri berada di sini bagi lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom.
Ketibaan beliau di Battersea Power Station yang terletak di lokasi ikonik di tebing Sungai Thames disambut Pengerusi Battersea Project Holding Company Ltd, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Perdana Menteri kemudian diberi taklimat mengenai projek pemulihan seluas 16.97 hektar yang berpusat di sekitar Battersea Power Station yang ikonik.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Transformasi pembangunan besar-besaran ini dipimpin oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada PNB, Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai lawatan beliau ke Battersea Power Station melalui media sosial.
“Sewaktu lawatan kerja di London UK, saya dan delegasi sempat singgah di Battersea Power Station yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ketersediaan segala infra di sini mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) ini ke tahap lebih tinggi di masa hadapan,” katanya di Facebook.
Battersea Power Station adalah salah satu projek pemulihan terbesar di Eropah, yang menyediakan lebih 4,000 rumah baru, 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur, 7.69 hektar ruang awam dan 20,000 peluang pekerjaan, dengan kira-kira separuh daripada kawasan kejiranan tersebut telah siap dibina setakat ini.
Sejak dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2022, kawasan Battersea Power Station menerima lebih 24 juta pengunjung dan kini menjadi destinasi pilihan dengan pelbagai tarikan termasuk kedai, restoran dan aktiviti riadah seperti gelanggang luncur ais tepi sungai serta Lift 109, lif kaca dengan pemandangan London yang menakjubkan.
Ia turut dinamakan oleh National Geographic sebagai salah satu daripada 20 ‘Best Cultural Spots’ di dunia pada 2024.-BH Online