KUALA LUMPUR: PERKESO membelanjakan RM350 juta bagi rawatan kepada lebih 19,000 pencarumnya yang menghidap penyakit buah pinggang di negara ini, sepanjang tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding RM1.12 juta yang diperuntukkan bagi rawatan kepada 100 pesakit buah pinggang dalam kalangan pekerja pada 1999.
Mengulas lanjut, katanya, jumlah kos rawatan buah pinggang pada tahun ini dijangka meningkat kepada RM400 juta dengan peningkatan purata pesakit adalah kira-kira 16 peratus atau 2,550 orang.
“Kita mendapati perbelanjaan tahunan paling tinggi adalah membabitkan rawatan dialisis dengan peningkatan purata pesakit adalah kira-kira 15 atau 16 peratus setiap tahun.
“Ini membimbangkan…kita bukan sahaja mahu memberikan bantuan rawatan tetapi juga PERKESO giat menjalankan kempen gaya hidup sihat khususnya bagi mengurangkan pengambilan gula.
“Malah PERKESO sendiri giat menjalankan kempen gaya hidup sihat dengan melancarkan perang ke atas gula,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Steven melancarkan Pusat Dialisis PERKESO yang kelima di WISMA PERKESO, di sini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pusat dialisis itu memuatkan sehingga 37 mesin dialisis dan boleh memberi manfaat kepada 222 pesakit bagi satu-satu masa.
Pada masa sama, Steven berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penambahan 12 mesin dialisis di kemudahan itu.
Beliau berkata, sehingga kini PERKESO mempunyai 800 pusat dialisis di seluruh negara yang beroperasi dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan sama, Steven berkata, bagi usaha pencegahan, hampir 900,000 pencarum berkelayakan menjalani Program Saringan Kesihatan (HSP) PERKESO secara percuma sejak 2013 bagi mengesan pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Pekerja disaran menjalani saringan kesihatan secara berkala kerana kesihatan dan produktiviti tenaga kerja ialah pemangkin sosioekonomi negara,” katanya.-BH Online