Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata lawatan kerjanya ke United Kingdom (UK) dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang, terutama kedudukan UK sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah.

Perdana Menteri berkata, jadual padat menanti beliau dan delegasi negara pada lawatan lima hari bermula hari ini itu bagi memanfaatkan segala ruang dalam menerokai inisiatif baharu berkaitan bidang perdagangan dan pelaburan susulan penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Selain itu, kata Perdana Menteri, sinergi sektor ekonomi, ASEAN, global dan situasi di Myanmar serta Palestin turut menjadi tumpuan.

“Saya percaya lawatan ini juga akan memberikan nafas baharu kepada hubungan dua negara selepas Keir Starmer memegang jawatan Perdana Menteri sejak Julai 2024.

“Moga agenda, misi dan segala yang dirancang di UK ini akan dipermudahkan-Nya dan mendapat manfaat kepada rakyat dan juga negara, Insya-Allah,” kata beliau dalam Facebook hari ini.

Perdana Menteri dijadual memulakan lawatan kerja dengan bertemu Starmer, hari ini, di Downing Street pada jam 1 tengah hari waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan Starmer akan mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat berkenaan yang memberi tumpuan kepada mengukuhkan hubungan yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar.

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri pelancaran produk oleh YTL Group UK, hari ini.

UK adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara bernilai RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion) sehingga November 2024.-BH Online