KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun dengan pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang dilaksanakan sejak tahun lalu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, penjimatan yang dicatatkan adalah lebih baik memandangkan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dilihat mengekang ketirisan yang lebih besar daripada jangkaan.
“Apabila kita laksanakan, kita menjangkakan akan memperoleh kira-kira RM4 bilion setahun penjimatan. Namun, pada masa ini, kita mencatatkan (penjimatan) kira-kira RM600 juta sebulan.
“Justeru, ia membolehkan kita mencapai (penjimatan) kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini, hari ini.
Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran bagi semenanjung, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai BUDI MADANI bermula 10 Jun 2024.
Mengulas mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan 2025, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaannya lancar dengan falsafah yang sama digunakan seperti subsidi diesel bersasar.
Beliau berkata, sudah pasti golongan yang memerlukan sokongan akan dibantu, sementara mereka yang mempunyai keupayaan akan menikmati harga bahan api itu mengikut harga pasaran.
Katanya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang memperhalusi mekanisme yang akan digunakan untuk pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95.
“Kita akan pastikan apa yang akan dilaksanakan berjalan lancar, sama seperti diesel, ia berjalan dengan lancar.
Justeru, usaha antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan adalah untuk memperhalusi mekanisme yang akan digunakan,” katanya.
Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Terdahulu, pada forum sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata keputusan siapa yang layak menerima subsidi RON95 akan ditentukan selepas kerajaan melaksanakan pendekatan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih menggantikan pengkelasan B40, M40 dan T20 sedia ada.
Beliau berkata, cadangan peralihan pengkelasan yang akan dibuat kepada berasaskan pendapatan boleh guna bersih sedang dalam pertimbangan kerajaan dan keputusan akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Justeru, katanya, kerajaan sedang melalui proses dalaman membabitkan peralihan itu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95.
“Dari sudut pandangan asas dan perspektif Kementerian Ekonomi, seawal 2023, kami telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mengubah pengkelasan B40, M40 dan T20. Justeru, keputusan rasmi perlu dibuat.
“Ini kerana sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), kita telah guna pengkelasan ini. Jika kita dapat memuktamadkan persetujuan kerajaan untuk mengubahnya, ia membolehkan kita melaksanakan langkah seterusnya iaitu mengenalpasti penerima yang dibentuk daripada 85 peratus isi rumah yang layak menerima subsidi RON95,” katanya.-BH Online