Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar warga Palestinyang dibawa ke Malaysia pada Ogos lalu bagi mendapatkan rawatan telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kini dalam proses untuk dihantar pulang, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata rundingan dengan kerajaan Mesir bagi penghantaran pulang mereka sedang dijalankan dan mungkin mengambil masa.

“Kita tidak akan menghantar mereka (warga Palestin) terus ke Gaza atau Palestin. Kita perlu melalui Mesir dan di sinilah cabaran kita hadapi memandangkan rundingan dengan kerajaan Mesir akan mengambil sedikit masa.

“Namun kita komited, seperti yang diminta oleh mereka, untuk menghantar mereka pulang ke rumah. Kita harap mereka faham bahawa usaha ini memerlukan masa,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau adalah panel pada sesi forum bertajuk ASEAN Dynamics: Capitalising on Opportunities and Navigating Transition.

Mohamed Khaled turut meluahkan rasa kesal atas kekecohan terbaharu melibatkan warga Palestin, kerana mereka dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan perubatan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada Sabtu lalu berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepat proses kembali ke Palestin.

Pada 16 Ogos lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza untuk rawatan serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL. – BERNAMA