KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan, apabila seramai 14,041 ketua isi rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori terbabit setakat 31 Disember lalu.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata miskin tegar di negeri itu berjaya dinoktahkan menerusi dua fasa tahun lalu.
Katanya, bagi fasa pertama membabitkan sejumlah 12,280 KIR miskin tegar tahun 2023 yang berjaya dinoktahkan pada 1 Julai tahun lalu.null
“Ia seperti arahan ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan pada 2 Mei tahun lalu.
“Dalam merealisasikan aspirasi kerajaan, Kelantan sekali lagi berjaya menoktahkan miskin tegar fasa kedua pada 31 Disember lalu yang membabitkan seramai 1,761 KIR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Hotel Perdana di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Jasri Kasim dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Mengulas lanjut Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu berkata, usaha membasmi kemiskinan akan dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhenti dalam tempoh ini sahaja.-BH Online