PUTRAJAYA, 7 Januari- Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) disifatkan sebagai satu kerjasama luar biasa di peringkat serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, kejayaan tersebut bukan sekadar di peringkat nasional sebaliknya turut memberi impak di peringkat global.
“Singapura kekal sebagai pelabur dua hala utama dan rakan dagang utama Malaysia. Kami berhasrat untuk memperkukuh hubungan ini khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang saya anggap sebagai langkah luar biasa di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya juga berharap dapat bekerjasama erat dengan Perdana Menteri (Singapura) Lawrence Wong untuk memastikan kejayaan inisiatif ini, bukan sahaja untuk Johor dan Malaysia, tetapi juga Singapura serta rantau ini secara keseluruhan,” kata Anwar pada sidang media bersama rakan sejawatannya itu sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di sini hari ini.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pertemuan bersama Wong membincangkan isu kerjasama keselamatan maritim dan sumber air.
Jelas beliau, Malaysia telah membuka semula rundingan berkaitan air dengan Singapura termasuk membincangkan parameter yang sedang dikaji pada masa ini.
Anwar memaklumkan pasukan teknikal akan menentukan parameter yang sesuai dalam perbincangan tersebut.
“Pasukan teknikal akan membincangkan parameter dan kami turut meneliti cadangan khususnya oleh Kerajaan Sarawak mengenai eksport tenaga menggunakan RDC Cable melalui Semenanjung ke Singapura,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman melibatkan bidang pendidikan, tenaga, ekonomi dan JS-SEZ yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
Selepas sidang media itu, Perdana Menteri meraikan Wong dalam majlis makan tengah di Seri Perdana di sini. Menyertai majlis makan tengah hari itu adalah 60 murid Tahun Enam dari Sekolah Kebangsaan Presint 18 (1).
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Wong dan delegasinya, tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi dua hari untuk menghadiri sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11,
Terdahulu, Wong telah diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan dengan Anwar.-Berita RTM