Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom serentak di seluruh negara bermula 9.30 pagi tadi membabitkan 350 pegawai dan anggota bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mematuhi standard ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Puspakom terlebih dulu seperti arahan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin JPJ melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.

“Fasa pertama ialah sekatan jalan raya yang dilakukan JPJ di lebuh raya terpilih manakala fasa kedua ialah pemeriksaan secara mengejut di Puspakom seperti kami lakukan hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu di Puspakom Wangsa Maju di sini, hari ini.

Turut sama menyertai operasi itu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Dalam operasi itu, Muhammad Kifli berkata, dalam tempoh dua jam saja, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan telah diambil tindakan manakala tujuh kenderaan, iaitu lima kereta dan dua lori disita.

Beliau berkata, pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan berada dalam keadaan uzur yang mungkin boleh meletup pada bila-bila masa.

“Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Muhammad Kifli turut mendedahkan pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, beliau berkata, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ esok untuk disoal siasat serta satu kertas siasatan akan dibuka dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima.-MyMetroOnline