Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 29 Disember – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa tiada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dan permohonan sijil itu masih bersifat sukarela.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menjelaskan permohonan SPHM terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia mematuhi semua keperluan piawaian, standard, dan perundangan berkaitan.

“Ia memberi nilai tambah kepada pemegang sijil dengan menunjukkan tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal

“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon SPHM dan dalam masa yang sama, menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Merujuk kepada tindakan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan, beliau berkata, langkah itu adalah inisiatif PBT untuk meningkatkan bilangan pemegang sijil halal di bawah pentadbirannya.

Namun, beliau berharap pihak PBT dapat memberikan penjelasan yang menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan masyarakat umum.

Dr. Sirajuddin turut menegaskan bahawa JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa aktif menggalakkan pengusaha untuk memohon SPHM.

Pada masa yang sama, mereka bekerjasama dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat Persekutuan dan negeri bagi mempermudah proses pensijilan.

“Sebagai pemegang SPHM, ia memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dihasilkan, selain menjadi nilai tambah yang membantu perniagaan memperluaskan pasaran,” tambahnya.-Berita RTM