MELAKA: Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir akan dibuka sepanjang Ramadan tahun depan, di sini, dengan menempatkan sebanyak 230 gerai jualan.
Ia menggantikan Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah yang sebelum ini merupakan destinasi ikonik umat Islam membeli-belah untuk persiapan menyambut Hari Raya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata bazar Aidilfitri itu bakal menempatkan 230 gerai jualan di sepanjang Jalan Kota yang mana kira-kira 90 peratus permohonan telah diisi, setakat ini.
“Kawasan di hadapan A Famosa hingga ke Bangunan Merah (Stadthuys) akan dijadikan sebagai lokasi bazar Aidilfitri buat kali pertama, bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong membeli-belah untuk persiapan menyambut Hari Raya.
“Kawasan ini strategik kerana ia bukan saja akan menempatkan Bazar Aidilfitri Mega Banda Hilir tetapi juga kompleks beli-belah, sekali gus memberi suntikan ekonomi kepada semua peniaga di sekitar kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Masakan Warisan Melaka 2024 yang turut dihadiri EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman.
Ab Rauf berkata, sepanjang pengoperasian bazar itu nanti, destinasi pelancongan lain yang berada di sekitarnya seperti muzium bawah Perbadanan Muzium Melaka, akan turut dibuka pada hujung minggu sebagai daya tarikan tambahan baharu bagi menarik kedatangan pengunjung dan pelancong ketika Ramadan.
Beliau berkata, tiada isu parkir bagi pengunjung atau pelancong ke bazar berkenaan kerana ada kira-kira 4,000 tapak meletak kenderaan di sekitar kawasan Banda Hilir dan Melaka Raya.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, Festival Masakan Warisan Melaka perlu diperluaskan ke peringkat sekolah sebagai antara langkah memastikan generasi muda dapat terus mewarisi masakan tradisi tempatan pelbagai kaum di negeri ini.
“Festival ini boleh dianjurkan secara berjadual setiap tahun pada peringkat sekolah sebagai pendedahan kepada golongan muda mengenai masakan warisan atau tradisi masyarakat tempatan yang ada di Melaka,” katanya. – BERNAMA