Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan empat rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway pada Khamis lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, keempat-empat individu itu mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.

“Penumpang dengan kecederaan ringan dipindahkan ke pusat krisis di dua hotel, iaitu Hotel Richard di Stokmarknes dan Thon Hotel di Lofoten. Empat warganegara Malaysia disahkan menginap di Thon Hotel, di mana mereka telah disediakan penginapan,” katanya. null

Katanya Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm kini sedang memantau rapat segala perkembangan berkaitan kemalangan itu.

“Siasatan sedang berjalan, ditambah pula dengan keadaan musim sejuk yang teruk termasuk salji lebat, angin kencang dan jarak lokasi kemalangan yang jauh kira-kira 1,500 kilometer dari Oslo, menimbulkan cabaran logistik yang ketara dalam mengakses dan menyokong individu yang terjejas. 

“Walaupun berhadapan cabaran ini, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia tetap komited untuk membantu warganegara Malaysia yang terlibat,” menurut kenyataan berkenaan lagi. 

Disebabkan siasatan yang sedang dijalankan, penumpang-penumpang tidak dibenarkan mengakses telefon atau berkomunikasi terus dengan dunia luar, manakala kakitangan hotel juga dilarang memulakan hubungan dengan penumpang-penumpang terbabit.null

Wisma Putra memaklumkan, pasukan konsular Kedutaan Malaysia juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dan memberi bantuan yang diperlukan.

Semalam, media melaporkan, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemalangan bas, kira-kira jam 1.30 tengah ha

Laporan awal menunjukkan penumpang bas yang sebahagiannya tenggelam dalam tasik, terdiri pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis dan Ukraine. Nahas ketika cuaca buruk, termasuk salji tebal dan angin kencang, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.

Media antarabangsa melaporkan, tiga maut, manakala empat parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway itu dan dirawat di Hospital Stokmarknes. 

Pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk.

Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavägen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau emel di mwstockholm@kln.gov.my.-BH Online