Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci dengan segera berhubung punca kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan susulan yang sewajarnya juga perlu diambil terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.

“JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anthony menambah, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh 3 kenderaan dari arah bertentangan.

Pada masa sama, beliau mewakili seluruh warga Kementerian Pengangkutan merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza turut menyebabkan 33 lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Beliau berkata, sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

“Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.

“Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu,” katanya. – MalaysiaGazette