KUALA LUMPUR: Usaha memperoleh keputusan cemerlang dan pulang berbakti kepada negara termasuk menjadi pembuat dasar.
Itu pesanan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kepada pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah Al Jamiah, Madinah yang ketika ini sedang berada dalam musim peperiksaan.
Beliau yang baru selesai menghadiri Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun atau D-8 di Kaherah, Mesir turut meminta mereka menjaga nama baik negara serta pihak yang menghantar mereka menyambung pengajian di institusi itu.
“Pesan saya ringkas kepada mereka pastikan belajar bersungguh-sungguh, letak sasaran untuk mendapat ‘mumtaz’ (cemerlang) dan kembali berbakti kepada masyarakat dan negara.
“Jaga nama baik negara dan mereka yang telah menghantar anda semua untuk sambung belajar sehingga tahap ini.
“Kepada semua anak-anak pelajar, selamat menghadapi peperiksaan dan semoga mencapai kejayaan cemerlang untuk diri sendiri, keluarga dan negara,” katanya dalam muat naik di Facebooknya, hari ini.
Turut menemaninya adalah Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
“Kebetulan Fathul Bari ada di Madinah, saya ajak ‘join’ sekali perjumpaan ini dan beliau juga merupakan Alumni Universiti Islam Madinah Al Jamiah ‘batch’ 2004. Beliau juga sempat menitip pesanan kepada ‘junior’ beliau.
“Walaupun berlatarbelakangkan bidang agama, ayuh ramaikan lagi kumpulan pelajar ini dalam bidang penjawat awam dan pembuat dasar negara,” katanya.
Pada pertemuan itu, Zambry menjamu pelajar itu dengan juadah Malaysia di Restoran Tuuu Dia Pak Tam.
“Saya tanya apa yang mereka nak makan, kata mereka rindu nak makan makanan Malaysia. Sayu dengar. Inilah antara cabaran hidup di perantauan
“Rezeki anak-anak pelajar ini apabila ada restoran Malaysia yang terkenal dibuka di Madinah iaitu Restoran Tuuu Dia Pak Tam,” katanya.-BH Online