SEPANG: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa penambahbaikan dalam aspek perkhidmatan adalah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju penerbangan global.
Bercakap pada majlis perasmian Airbus A330neo, Loke berkata Malaysia Aviation Group (MAG), memainkan peranan besar dalam menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan paling penting dunia.
“Kerajaan tetap teguh dalam komitmennya untuk menyokong misi ini. Kami menyedari bahawa penerbangan bukan sekadar mod pengangkutan, ia adalah pemboleh ketersambungan, pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
“Sebagai sebuah negara, kita komited untuk memastikan Malaysia kekal sebagai hab penerbangan global, yang mengimbangi pertumbuhan dengan pemeliharaan alam sekitar,” katanya di sini, hari ini.
Loke mengiktiraf peningkatan luar biasa syarikat penerbangan terutamanya membabitkan Malaysia Airlines Berhad dan MASwings, di bawah kendalian Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Menyifatkan ketibaan Airbus A330neo pertama Malaysia itu sebagai detik penting dalam sektor penerbangan negara, Loke turut meluahkan harapan untuk melihat Malaysia Airlines terbang ke semua destinasi utama di Eropah, tidak lama lagi.
Sementara itu, Izham dalam ucapannya mengakui biarpun MAG terus mengorak langkah dengan pembaharuan yang ketara, kumpulan itu tetap berdepan pelbagai cabaran getir.
“Memandang ke hadapan, visi kami jelas dan keazaman kami tidak berbelah bahagi. Acara hari ini adalah cerminan visi dan cita-cita itu, mempamerkan kerja keras dan ketabahan yang akan terus memacu kami.
“Kebingkasan menjadi teras jenama kami, dan ia akan terus membimbing kami semasa kami bergerak ke hadapan,” katanya.
A330neo merupakan pesawat terbaharu yang menyertai MAG, dengan sejumlah 20 buah akan dihantar menjelang 2028 susulan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon pada Ogos 2022.
Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000, A330neo menampilkan inovasi terkini dalam aerodinamik, bahan termaju, memberikan pengurangan 14 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berbanding pesawat generasi sebelumnya.
Pesawat A330neo MAG terdiri daripada 297 tempat duduk, iaitu 28 dalam kelas Perniagaan dan 269 dalam kelas Ekonomi, di mana 24 tempat duduk dilengkapi dengan ruang kaki tambahan.-Astro Awani