PUTRAJAYA: Sebanyak RM177 juta anggaran nilai kerosakan dalam sektor agromakanan yang direkodkan akibat banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) 2024 membabitkan 15,456 petani di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kira-kira 28,000 hektar kawasan terjejas dengan majoriti membabitkan sawah padi di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Beliau berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, 1,153 kumpulan sasar yang terjejas adalah petani selain padi, dengan 502.96 hektar terjejas dan RM17.25 juta nilai kerugian dicatatkan. null
“Paling banyak adalah sawah padi di Kelantan, Kedah dan sedikit di Terengganu. Selain itu, ia termasuk sektor perikanan, pertanian dan tanaman sayuran,” katanya pada sidang media, di lobi Wisma Tani, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad menyempurnakan majlis Flag-Off Skuad Ihsan Madani Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan 20 warga kerja skuad itu bergerak ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi membantu mangsa banjir.
Pada masa sama, Mohamad berkata, seramai 13,674 petani yang terjejas adalah pesawah; 599 (tanaman selain padi); masing-masing 250 bagi perikanan dan ternakan; 35 nelayan laut dan 19 usahawan tani.
Beliau berkata, petani yang paling terjejas adalah di Kedah dengan 7,422 orang membabitkan 14,613 hektar dan RM97.76 juta nilai kerugian. null
Katanya, ia diikuti 3,426 petani di Kelantan dengan nilai kerugian RM33.37 juta dan 2,107 petani di Terengganu membabitkan nilai kerugian RM13.43 juta.
Mohamad berkata, KPKM juga menyediakan mekanisme bantuan iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi pengusaha tanaman selain padi.
“Selain itu, KPKM juga mengenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September lalu bagi melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuk bencana banjir.
“Kadar pemberian bantuan berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 sehektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari.
“Jumlah bantuan terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar saja bagi satu musim penanaman,” katanya.
Beliau berkata, bagi bantuan di bawah TBP pula, ia berbentuk bantuan bukan kewangan dengan 50 peratus daripada nilai anggaran jumlah kerugian keseluruhan akan dipulihkan melalui projek kumpulan sasar dan mekanisasi serta automasi ladang, bertujuan meringankan beban kerugian ditanggung akibat bencana.-BH Online