Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat pengumuman mengenai langkah interim bagi mengatasi isu kenaikan kadar premium insurans perubatan yang dijangka berlaku pada tahun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Perdana Menteri sudah memaklumkan pada sesi soal jawab Perdana Menteri (sidang Dewan Rakyat), Selasa lalu, bahawa BNM akan membuat penilaian serta perbincangan dan akhirnya nanti mengumumkan satu keputusan berhubung isu kadar insurans.

“Hari ini, Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri, perlu sedikit masa lagi tetapi dalam masa tidak terlalu lama, BNM akan membuat pengumuman itu,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, berkata BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kawalan supaya kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pesakit.

Susulan itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Negara, semalam, berkata BNM akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah interim bagi mengatasi isu berkenaan.

Dalam hal itu, beliau dilaporkan berkata, pembabitan semua pihak berlandaskan prinsip pendekatan keseluruhan negara adalah amat penting.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pengumuman BNM nanti akan memberi kelegaan kepada rakyat yang berharap perkara itu dapat ditangani dengan baik.-BH Online