KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan cadangan penyelarasan harga baharu beras putih tempatan (BPT) masih belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan kajian terperinci mengenainya masih dijalankan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan kementeriannya akan meneliti syor dan penambahbaikan digariskan melalui kajian terbabit.
Katanya, komitmen sama turut diberikan untuk meneliti kajian am yang dibuat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai industri padi beras negara.
“Sesi libat urus bersama pemegang taruh sudah selesai namun cadangan termasuk bagi penyelarasan harga baharu BPT masih belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan kajian terperinci sedang berjalan.
“Dalam masa yang sama, MyCC juga baru selesai menghasilkan kajian am mengenai industri padi beras.
“KPKM ingin memberi komitmen bahawa setiap aspek penambahbaikan dan syor yang dikemukakan kedua-dua kajian terbabit akan diteliti dan dinilai mengenai kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya pada masa akan datang,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu apakah hasil perbincangan KPKM bersama pemegang taruh dalam memuktamadkan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu padi dan beras.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, antara langkah semasa KPKM adalah meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh dalam industri beras negara.
Katanya, ia selari dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2024 pada 19 Mac lalu.
“KPKM diarah untuk meneruskan perbincangan bersama dengan semua pemegang taruh meliputi jabatan dan agensi kerajaan, pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memperhalusi pelan tindakan jangka panjang struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
“Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan,” katanya.
Untuk rekod, pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kementerian itu sudah menambah empat langkah reformasi institusi dengan industri padi beras diletakkan sebagai fokus utama.
Ia membabitkan pemisahan kuasa dan fungsi institusi pengurusan industri padi beras serta pengenalan peraturan larangan pencampuran BPT dan beras putih import, selain memperkukuh kawal selia penguatkuasaan serta memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).-BH Online