KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.
Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya ialah pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia sekali gus menjadikan Sarawak mempunyai jumlah kawasan Dun paling banyak di negara ini dengan keseluruhan 82 kawasan, manakala Parlimen pula sebanyak 31.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata penelitian itu dibuat selepas tempoh lat lapan tahun bagi Sarawak sudah berakhir pada tahun lalu.
“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
“Bagi maksud itu, lat tempoh lapan tahun bagi Sarawak sudah berakhir pada tahun 2023 dan SPR sedang menimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan terbabit,” katanya.
Azalina berkata, terdapat peruntukan ditetapkan Perlembagaan perlu dipatuhi berdasarkan prinsip persempadanan yang dipegang oleh SPR.
“Pertama, kemudahan diadakan bagi pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan kedua pula, mengambil kira kemudahan pentadbiran untuk pendaftaran dan pengundian.
“Ketiga, jumlah pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.
“Keempat, mengekalkan hubungan masyarakat tempatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menyatakan pelan tindakan dan garis masa SPR untuk mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, SPR perlu menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan mahupun negeri berlandaskan kepada prinsip serta tatacara persempadanan ditetapkan di Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia termasuk menurut kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri,” katanya.-BH Online