Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Sebanyak 7,779 koperasi dikesan gagal menyegerakan penyata akaun manakala 2,304 koperasi lagi tidak dapat diaudit  penyata akaun mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, isu tersebut sedang diatasi melalui bimbingan dan kursus yang disediakan menerusi agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu koperasi menyediakan akaun secara teratur.

“Tetapi koperasi-koperasi ini memang diberikan bimbingan dan semua maklumat yang diterima oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dikendalikan lepas mereka  menerima bantuan.

“Contohnya bantuan geran, bantuan tabung bantuan modal pusingan dan program jejak iaitu bantuan bagi koperasi-koperasi yang mengendalikan aktiviti pelancongan,” kata Ramanan.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan yang di kemukakan oleh wakil Betong Dr. Richard Rapu, di Dewan Rakyat.

Ramanan turut memaklumkan bilangan koperasi yang telah didaftar setakat ini adalah sebanyak 16,009 koperasi. KUSKOP melalui SKM sentiasa komited dalam mengawal selia gerakan koperasi di negara ini.

Malah turut menyediakan beberapa garis panduan bagi mengelak koperasi menghadapi masalah pengurusan kewangan, antaranya Garis Panduan Mengenai Skim Pelaburan Khas dan  Garis Panduan Pelaburan Wang Koperasi bawah Seksyen 54 Akta Koperasi 1993

Ia dirangka bagi menjamin ahli koperasi tidak terjerumus dengan kerugian dengan jumlah besar.-Berita RTM