Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAYAN LEPAS: Keputusan bagi permohonan mendapatkan pengiktirafan status Bumiputera dalam kalangan masyarakat India Muslim di negara ini, akan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan permohonan yang dikemukakan, sama ada diluluskan atau tidak, harus melalui proses yang ditetap berdasarkan Perlembagaan dengan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Perkara itu (permohonan status Bumiputera) mengikut proses Perlembagaan yang biasa. Sama ada seseorang itu layak atau tidak, mereka perlu mematuhi proses biasa. Ia permohonan individu, bukan berkaitan kerangka masa.

“Ini bergantung pada permohonan individu, bukan secara berkumpulan atau pertubuhan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Liga Muslim Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Haja Najmudeen Abd Kader.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, akan melihat isu dibangkitkan itu kerana ia bawah bidang tugasnya.

“Ya, itu tugas beliau… maksud saya, kementerian perlu menguruskan perkara itu,” katanya.

Pada majlis malam tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kelulusan peruntukan RM250,000 kepada Liga Muslim Pulau Pinang bagi membantu memperkasakan program latihan keusahawanan dan inisiatif pembangunan generasi muda komuniti itu, terutama dalam aspek digital.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berharap semua peluang yang disediakan kerajaan dalam bidang berkenaan, direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya supaya tidak melebarkan jurang antara golongan elit kaya dengan masyarakat umum.

Selain itu, katanya, beliau juga telah memberi arahan kepada semua kementerian serta jabatan supaya terus menyantuni semua rakyat, termasuk golongan India Muslim di Malaysia.

Sementara itu, Haja Najmudeen dalam ucapannya pada majlis sama, mengutarakan masalah permohonan status Bumiputera yang didakwa tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak kebelakangan ini.

Beliau ketika ditemui pemberita kemudian mendakwa bahawa penolakan permohonan pengiktirafan status Bumiputera dalam kalangan komuniti berkenaan memberi kesan kepada kehidupan mereka, terutama dalam aspek pendidikan dan ekonomi.-BH Online