Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 akan memberi keutamaan kepada perkara seperti melonjakkan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dengan ekonomi lain.

Dalam tempoh itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan memperluaskan kerjasama ekonomi ASEAN dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan lebih terangkum dan lestari.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam hantaran melalui laman X selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr Ngozi Okonjo-Iweala, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan semula pendirian Malaysia menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang adil dan saksama, terutama bagi negara sedang membangun.

“Ini penting bagi memastikan WTO kekal relevan dalam situasi geopolitik semasa, terutama untuk menangani mekanisme unilateral,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keahlian Malaysia dalam WTO yang mengutamakan prinsip ketelusan dan menolak diskriminasi, turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan serta pelaburan langsung asing negara. – BERNAMA