Projek rintis produk Teknologi Tebatan Banjir atau NoFloods yang kini di peringkat bukti konsep (POC) dilihat berkesan dalam menangani masalah banjir dan meminimumkan impak jalan terputus akibat bencana itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, produk sepanjang 300 meter itu yang mula dipasang di Seksyen 6.30 Jalan Persekutuan FT189 di sini dari 1 Oktober lepas hingga 31 Mac 2025, adalah hasil kerjasama Kementerian Kerja Raya dan syarikat konsesi.
Produk dari Denmark itu dipasang sepanjang 300 meter bagi meminimakan impak jalan terputus akibat banjir. Sekiranya berjaya, teknologi NoFloods tersebut akan digunakan ke lokasi atau negeri yang sering dilanda banjir.
Laluan yang dipasang kebiasaannya mencatatkan ketinggian paras air setinggi 0.9 meter dan alat ini mampu menampung hingga 1.2 meter ketinggian aras air banjir.
“Hari ini, secara kasarnya saya melihat bagaimana produk ini yang menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IOT) berkesan sebagai halangan untuk membantu supaya air tidak mengalir ke jalan. Macam manapun kita masih kena tunggu laporan penuh.
“Ia guna teknologi di mana air masuk ke dalam paip besar yang boleh jadi penghalang aliran banjir dan dengan IOT, ia pintar sebab boleh beri maklumat secara masa nyata melalui aplikasi,” kata Nanta selepas meninjau produk itu, di sini.
Beliau turut ke lokasi-lokasi cadangan kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang akan dilaksanakan pada tahun depan.
Nanta juga berkata pihaknya akan melakukan kerja penyelenggaraan infrastruktur jalan raya yang rosak akibat banjir di Terengganu pada 2025.
“Tiga lokasi yang menjadi keutamaan ialah Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465; Jalan Bukit Besi-Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau-Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.
“Untuk tahun 2025, KKR telah mengenal pasti dan memohon 228 bilangan kerja penyenggaraan berkala turapan bernilai RM301.77 juta dan 197 bilangan kerja berkala bukan turapan bernilai RM46.9 juta bagi Jalan Persekutuan di Terengganu,” katanya.-Berita RTM