Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Kesan 3.0 bermula hari ini, sejajar pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi itu bertujuan memantau dan mengekang aktiviti pencatutan dengan menggunakan lima pendekatan iaitu melaksanakan proses pengumpulan data dan harga serta caj perkhidmatan bermula 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, data itu akan dijadikan perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA, mengguna pakai data kutipan harga dilaksanakan setiap hari oleh pegawai pemantau harga membabitkan 480 item sebagai panduan pergerakan harga barang.

“Selain itu, memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam sejajar pelaksanaan Kita Gempur yang dilancarkan di Kota Kinabalu sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sini, hari ini.

Armizan berkata, KPDN juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam daripada masa aduan diterima.

Beliau berkata, KPDN juga menyediakan saluran aduan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat melalui saluran Whatsapp 0198488000, portal e-aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan di aplikasi Ez ADU KPDN.

Katanya, sepanjang tempoh pengumpulan data Ops Kesan 3.0 itu, sebanyak 2,803 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan 13,209 item dan premis berkenaan diberikan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Ops itu dilakukan bagi mengesan pihak yang membuat peningkatan harga bagi mengaut keuntungan secara berlebihan, sekali gus mengekang aktiviti pencatutan apabila bermulanya kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.-Bernama