Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam Pahang, tahun depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, bayaran bantuan khas kewangan itu akan dikreditkan pada 2025 dengan membabitkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM33.3 juta.null

“Bantuan ini sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik serta meningkatkan pencapaian pada masa hadapan,” katanya.

Beliau sekali gus merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus memberi dukungan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Pahang kekal maju dan makmur.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dicapai penjawat awam Pahang. Antaranya, kejayaan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Majlis Daerah Jerantut memenangi Anugerah Penarafan Bintang pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pelaksanaan SSPA akan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus dengan lapan peratus daripadanya akan dibayar mulai Disember ini, manakala baki tujuh peratus pula Januari 2026 yang membabitkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM55.014 juta.-BH Online