Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua menteri dan timbalan menteri juga diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

“Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan).

“Ya (cuti dibekukan),” katanya ketika ditanya sama ada cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan berikutan bencana banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunai solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di surau itu.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk Tuntutan Mengimarah Rumah Allah sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Asyraf Ibrahim. 

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna hijau sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar. 

Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Taman Warisan Pertanian dekat sini. 

Setakat pagi tadi, hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 orang sudah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi. 

Di Terengganu, seramai 20,911 orang daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 17,762 orang pada 8 malam tadi. 

Negeri lain yang turut terkesan banjir termasuk Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. 

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan lapan negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor hingga esok.-BH Online