IPOH: Agenda Negara Menua antara tumpuan baharu kerajaan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal dibentang awal tahun depan di Parlimen.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata melalui kertas putih Agenda Negara Menua, kerajaan mendapati terdapat banyak penambahbaikan perlu dilaksanakan dari segi undang-undang untuk mewujudkan industri penjagaan.
Menurutnya, ini sebagai persediaan negara memandangkan Malaysia secara rasmi akan menjadi negara tua pada 2044 dengan 16 peratus rakyat berstatus pencen.
“Mula akan ada tekanan kepada tenaga kerja kerana mereka (rakyat) kena membiayai (rawatan dan penjagaan warga emas) dan kita mungkin kekurangan tenaga kerja seperti berlaku di Jepun.
“Buat masa sekarang, industri kita ini tidak terangkum. Dari segi rangka undang-undang itu tidak jelas dia di bawah kementerian mana, kawal selianya dan peraturannya bagaimana.
“Jadi, Kementerian Ekonomi serta kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memang memberi fokus kepada agenda ini untuk jangka masa yang lebih panjang untuk mewujudkan industri penjagaan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Perak sempena RMK-13 di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan juga akan memperhalusi perlindungan sosial yang diperlukan rakyat Malaysia sebagai negara tua.
“Apabila kita tengok banyak perkara yang melibatkan sektor kerja, insurans, pencen dan perkara ini juga akan dibincangkan dengan lebih mendalam menerusi RMK-13.
“Proses untuk membina keseluruhan jaringan keselamatan sosial ini bukan sesuatu yang boleh berlaku serta-merta dan ia berada di bawah kawal selia banyak kementerian.
“Namun, RMK-13 akan menjadi RMK pertama yang ada satu fokus khusus mengenai Agenda Negara Menua,” katanya.-BH Online