Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 November- Vietnam berhasrat mempelajari serta berkongsi kemahiran dalam industri halal dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan Malaysia.

Hasrat tersebut dinyatakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam hal ehwal pendidikan tinggi dan TVET, mereka menyedari bahawa kita telah berada di satu tahap dan mereka ingin mempelajarinya.

“Kita turut berbincang mengenai pertukaran pelajar (di Institusi Pengajian Tinggi) kerana mereka telah menghantar seramai 346 pelajar ke Malaysia, namun setakat ini, kita tidak menghantar pelajar ke negara itu,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid kepada pemberita selepas pertemuan berkenaan.

Dari segi pelaburan halal, beliau berkata Vietnam meminta pelabur-pelabur dari Malaysia untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan.

Terdahulu, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Lam, yang ditemani isteri Ngo Phuong Ly dan delegasi tiba di Malaysia semalam untuk lawatan kerja selama tiga.

Ini merupakan lawatan pertama Lam ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos tahun ini.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam dalam ASEAN.-Berita RTM