SIMPANG PULAI: Selepas hampir sebulan ditutup berikutan kejadian tanah runtuh di Seksyen 42.7, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands akan dibuka semula kepada semua jenis kenderaan bermula Isnin ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, pembukaan jalan itu masih tertakluk kepada tahap risiko cerun.
Beliau berkata, laluan itu hanya dibuka dari jam 7 malam hingga 7 pagi, manakala pada waktu siang ia akan kembali ditutup bagi memberi laluan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja pemasangan plastik kanvas dan gabion.
Justeru, pengusaha kebun sayur-sayuran Cameron Highlands dinasihati supaya bersabar serta mematuhi arahan penutupan jalan pada sebelah siang.
“Saya mohon kerjasama daripada pengusaha sayuran agar bersabar kerana saya difahamkan ada penduduk setempat ini buat rusuhan dan sebagainya.. tak sabar.
“Walaupun sayur itu penting sebagai makanan atau kerja harian kita, tetapi yang lebih penting adalah nyawa,” katanya selepas meninjau keadaan cerun itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak RM500,000 sudah dibelanjakan oleh JKR bagi kerja pembersihan tanah menggunakan jentera di lokasi sejak 1 November lalu.
Runtuhan cerun berketinggian 70 meter dengan lebar 100 meter di Seksyen 42.7 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berlaku pada 8 pagi 23 Oktober lalu.
Sepanjang tempoh pemantauan, didapati runtuhan cerun masih aktif dan penutupan jalan di kedua-dua lorong sepenuhnya dilaksanakan berkuat kuasa jam 5 petang, 25 Oktober lalu bagi mengelakkan risiko kemalangan.
Nanta berkata, bagi mengatasi masalah cerun di lokasi itu, ‘rockshed’ sepanjang 100 meter bernilai RM20 juta akan dibina dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi.-BH Online