Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RIO DE JANEIRO: Malaysia sedang bersiap siaga menghadapi sebarang perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) khususnya tarif baharu yang berpotensi mengancam rantaian bekalan barangan khususnya berkaitan semikonduktor.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, mendedahkan kebimbangan industri mengenai potensi kenaikan tarif import yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya presiden AS baru-baru ini.

“Kerisauan utama adalah kenaikan tarif yang boleh menjejaskan dan menaikkan harga cip semikonduktor,” katanya dalam sidang media di sini. null

Beliau menyertai lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak G20.

Cadangan kenaikan tarif sehingga 60 peratus ke atas barangan buatan China, jika dilaksana pentadbiran baharu AS yang diketuai Donald Trump, dikhuatiri akan meningkatkan kos pengeluaran dan harga cip semikonduktor.

“Kenaikan harga boleh merencatkan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang bergantung kepada cip semikonduktor,” kata Tengku Zafrul.

Susulan itu, Malaysia melihat keperluan untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat semikonduktor tempatan dan multinasional serta AS, China dan Eropah bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.

Tengku Zafrul berkata, ketika ini, pihaknya sedang berbincang dengan syarikat yang terbabit dalam industri berkenaan supaya rantaian bekalan kekal kukuh.

“Cuma kerisauan mereka bukan untuk rantaian bekalan. Kerisauan mereka adalah dari segi tarif kerana ada ura-ura ataupun semasa kempen pilihan raya presiden baru-baru ini, Trump ada mengatakan, beliau nak menaikkan tarif dalam sektor seperti sektor semikonduktor dan sektor strategik yang lain.

“Itu masih lagi kita belum lihat, masih awal lagi,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Tengku Zafrul, pihaknya perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. 

Trump ketika kempen pilihan raya presiden AS menjanjikan untuk menaikkan tarif sebanyak 10 peratus atau 20 peratus ke atas semua barangan yang diimport ke AS dan tarif yang lebih tinggi sebanyak 60 peratus ke atas barangan buatan China.

Namun begitu, dari segi pelaburan, walaupun berdepan cabaran, Malaysia dilihat mendapat manfaat daripada perang dagang semasa.

“Ramai pelabur, terutamanya dari China dan Eropah,mengamalkan ‘Strategi +1’ dan memilih ASEAN sebagai lokasi pelaburan alternatif.

“Ini kerana mereka ingin melihat semula rantaian bekalan bagi memastikan ia lebih berdaya tahan dan terjamin,” kata Tengku Zafrul.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menegaskan pengalaman Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) selama lebih 50 tahun menjadi daya penarik utama.

Tengku Zafrul menjelaskan, setakat ini, ketegangan geopolitik membawa limpahan positif kepada negara ASEAN kerana blok berkenaan dianggap strategik dan berkecuali. 

“Bila kita lihat ASEAN ini, Malaysia adalah salah satu negara yang dipilih kerana kita ada pengalaman yang lama dalam bidang E&E),” katanya.-BH Online