Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peningkatan yang dicatatkan dalam permodalan pasaran ekuiti Malaysia, yang kini melepasi RM2 trilion, bersamaan dengan lebih AS$450 bilion membuktikan pemulihan berterusan ekonomi negara tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, rangka kerja kawal selia yang teguh mengekalkan pasaran adil dan teratur, dengan pelbagai peluang pengumpulan dana dan pelaburan merentas ekuiti, derivatif, bon dan sukuk.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2024 mencapai 5.3 peratus, menjadikan pengembangan sembilan bulan kepada 5.2 peratus, lebih besar berbanding 3.8 peratus tempoh yang sama sebelumnya.

“Malaysia kini sedang mengalami kebangkitan ekonomi dan sosial yang transformatif. Dunia telah mengambil perhatian mengenai kelebihan pelaburan di Malaysia.

“Tahun ini saja, gergasi teknologi terkemuka dunia daripada Amazon Web Services, hingga Google, Microsoft, telah mengumumkan pelaburan baharu dan/atau pengembangan pelaburan yang ketara berjumlah AS$16.9 bilion.

“Selain itu, agensi penarafan global terkemuka telah meningkatkan tinjauan mereka untuk Malaysia iaitu penarafan A- oleh S&P Global, dengan pandangan yang stabil; Fitch Ratings (BBB+), dengan pandangan yang stabil dan Moody’s (A3), dengan pandangan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 dan Mesyuarat Tahunan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Yang turut hadir, Pengerusi WFE & Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Exchange, Loh Boon Chye; Ketua Pegawai Eksekutif WFE, Nandini Sukumar; Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Anwar berkata, pada 2023, jumlah pelaburan yang diluluskan membabitkan pepaburan langsung asing dan domestik, mencatatkan sebanyak RM329.5 bilion, meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan yang tertinggi dalam sejarah negara setakat ini. 

“Kami juga berasa positif mengenai tahun 2024. Kami percaya bahawa kekuatan asas Malaysia, digabungkan dengan komitmen teguh Kerajaan MADANI terhadap tadbir urus yang baik, telah meletakkan kita di laluan baharu menuju kestabilan politik dan sosial.

“Tahun depan, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, komuniti serantau kita yang penting. Tahun 2025 pula akan menjadi babak yang bersejarah untuk ASEAN, sarat dengan makna dan janji. Kita akan meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, satu tanda penting dalam perjalanan kolektif kita.

“Dan bersamanya, kita akan menerima sebuah mercu tanda baharu, Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan merangka hala tuju masa depan bersama untuk dua dekad akan datang,” katanya.

WFE ialah persatuan industri global untuk bursa dan firma penjelasan. Persidangan utama WFE menghimpunkan pemimpin industri daripada bursa global, pihak berkuasa kawal selia dan institusi utama untuk perbincangan peringkat tinggi mengenai isu industri utama.

Lebih 300 delegasi dan wakil 50 organisasi dari seluruh dunia menyertai perhimpunan ini, kebanyakannya secara bersemuka, dan selebihnya secara maya.

Persidangan itu dianjurkan mengikut giliran antara wilayah setiap tahun, dengan Malta menjadi tuan rumah pada 2022, Bermuda pada 2023, dan kali terakhir Malaysia menganjurkan Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan WFE ialah pada 1998.-BH Online