PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menawarkan kontrak tambahan untuk perolehan farmaseutikal pada awal tahun depan bagi memastikan kestabilan bekalan ubat di negara ini, khususnya insulin manusia.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia berikutan gangguan bekalan insulin manusia pada Ogos lalu yang mendorong KKM mengambil tindakan segera untuk memastikan pesakit mendapat akses kepada ubat itu.
“Kami sudah ada nama beberapa syarikat dalam perancangan itu dan kini pada peringkat akhir untuk pemberian lesen. Ia adalah syarikat biasa yang sudah dikenali ramai dan mereka komited untuk melabur membangunkan insulin manusia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly sekali gus memberi jaminan bahawa Malaysia tidak pernah mengalami kekurangan insulin manusia walaupun ketika gangguan bekalan pada Ogos lalu.
Terdahulu, beliau memberitahu Dewan Rakyat, KKM tidak akan lagi mengizinkan kontrak perolehan farmaseutikal diberikan kepada satu syarikat saja, bagi memastikan bekalan ubat yang selamat dan stabil di negara ini.
“Pengalaman yang berlaku pada Ogos lalu memberi banyak pengajaran penting kepada kita, khususnya apabila timbul situasi kekurangan bekalan insulin manusia.
“Walaupun tiada kes yang terbukti pesakit pulang tanpa bekalan, situasi itu memerlukan langkah pantas bagi memastikan bekalan tetap mencukupi. Langkah awal yang diambil termasuk memindahkan bekalan antara klinik berdekatan.
“Sebagai contoh, jika klinik A kehabisan bekalan, ia boleh mendapatkan stok daripada klinik B, C atau D. Pendekatan ini memastikan kesinambungan bekalan kepada pesakit tanpa gangguan. Keupayaan bertindak pantas ini mengelakkan sebarang impak besar kepada penjagaan pesakit,” katanya.
Namun, Dr Dzulkefly berkata, pengalaman itu juga memberi amaran mengenai risiko kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
“Dalam situasi itu, pembekal tunggal Biocon menghadapi kegagalan membekalkan insulin. Keadaan itu hampir mencetuskan krisis bekalan yang memerlukan usaha segera untuk mencari sumber alternatif.
“Sebagai langkah ke hadapan, pendekatan lebih mampan adalah memastikan kepelbagaian sumber bekalan bagi ubat-ubatan penting seperti insulin manusia. Ini bermakna kontrak atau tender tidak lagi diberikan kepada satu pembekal sahaja.
“Dengan langkah ini, kita dapat mengelakkan situasi serupa dan memastikan kesihatan rakyat terus terpelihara tanpa risiko kekurangan bekalan,” katanya.
Pada awal November tahun ini, Dr Dzulkefly menyentuh mengenai inisiatif transformasi, iaitu penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.
Beliau mengumumkan peruntukan RM87.1 juta bawah Belanjawan 2025 untuk pembelian ubat SGLT2 yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit diabetes.
“Ubat ini sangat berkesan, mengurangkan komplikasi seperti masalah kardiovaskular dan buah pinggang yang boleh menelan kos untuk rawatan. Ia juga membantu penurunan berat badan, faktor kritikal dalam menguruskan diabetes. Dengan memelihara fungsi buah pinggang dan mengurangkan risiko kegagalan buah pinggang… kami mengutamakan keberkesanan jangka panjang untuk pesakit,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, kementerian berusaha meneroka analog dan pilihan terapeutik termaju yang lain bagi menambah baik rawatan diabetes sambil mengekalkan kos efektif.
“Usaha ini mencerminkan dedikasi kami untuk mengukuhkan kemampanan dan keberkesanan sistem kesihatan negara, serta memastikan akses kepada ubat-ubatan penting, sambil mengurangkan beban penyakit kronik,” katanya. – BERNAMA